HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, April 21, 2017

Sahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid bin Mohd. Noor ( Dato' Mursyid Diraja)



Beliau adalah seorang tokoh pendidik yang disegani serta seorang yang warak dan lemah lembut tetapi tegas dalam soal-soal berkaitan dengan agama.



Dato' Paduka Sheikh Abd. Majid bin Mohd. Noor dilahirkan pada 12 Februari 1924 di Kampung Seberang Pantai Johor, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Star, Kedah pada tahun 1930 selama 3 tahun. Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Suka Menanti pada tahun 1935 dan seterusnya di Maktab Mahmud selama 8 tahun. Beliau kemudiannya berangkat ke Mesir untuk memasuki Universiti Al-Azhar dan mendapat Ijazah B.A. di sana. Pada tahun 1955, beliau melanjutkan pengajiannya di Institusi Ain Al-Syam dan di situ pelbagai kaedah pengajaran serta pengetahuan perguruan telah dipelajarinya.

Setelah pengajiannya tamat, beliau bertugas sebagai guru Bahasa Arab di sekolah lamanya di Maktab Mahmud iaitu pada tahun 1945 selama 20 tahun. Kemudian, beliau dilantik sebagai Pemangku Guru Besar di sekolah yang sama pada tahun 1961. Pada tahun 1965, beliau dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar di sekolah tersebut. Kemudian pada tahun 1969, beliau dilantik pula sebagai Pendaftar Sekolah-sekolah Agama di Majlis Hal Ehwal Agama Islam. Pada tahun 1980-an, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Lembaga Urusan dan Tabung Haji. Di samping itu, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Tabung Haji. Beliau telah dipilih menjadi Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud dan juga diberi tugas sebagai Ahli Lembaga Amanah Yayasan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIM) selama tiga tahun. Selain itu, Dato' Paduka Syeikh Abd Majid pernah menjadi hakim pertandingan Tilawatul Al-Quran peringkat negeri dan peringkat kebangsaan.

Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 1986, dan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1998.




Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Atas sikap dedikasi dan ketokohan beliau, KDYMM Tuanku Sultan berkenan melantik beliau menjadi Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan dua tahun kemudian beliau bersara wajib pada 12 Februari 1979. Selepas beberapa bulan bersara, beliau telah dipilih menjadi Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah dari tahun 1980 hingga tahun 1984. Serentak dengan tugas tersebut, beliau turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) peringkat negeri Kedah selama 5 tahun. Dari tahun 1979 hingga tahun 1986, beliau dilantik menjadi Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah. Setelah bersara, beliau masih memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Agama Islam Kedah, Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kedah.

Antara hasil karya beliau ialah, Risalah Sembahyang Terawih dan Sembahyang Musafir, Jamak dan Qasar. Beliau juga menyusun kurikulum Sekolah-Sekolah Rendah di Kedah. Dato' Paduka Syeikh Abdul Majid bukan sahaja dikenali sebagai tokoh dalam bidang agama tetapi juga tokoh pendidik yang disegani serta seorang yang warak dan lemah lembut tetapi tegas dalam soal-soal berkaitan dengan agama.

Bagi mengenang sumbangan dan jasa bakti dalam bidang yang beliau ceburi, pelbagai pingat dan darjah kebesaran telah dianugerahkan oleh kerajaan. Di antaranya ialah D.H.M.S. yang membawa gelaran Dato' Paduka, D.P.M.K., S.M.K., P.C.K., Dato' Setia Jaya dan Dato' Mursyid Diraja (Dato' Bergelar Orang Besar Enam Belas). Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 1986, Tokoh Guru Kebangsaan bersempena sambutan Hari Guru pada tahun 1987 dan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1998

No comments:

Post a Comment