HIMPUNAN ULAMA THURATH SIRI 3

Friday, April 21, 2017

Tuan Guru Hj Salleh Pulau Pisang Kubang Pasu pengarang kitab Sirajul Huda

Ulama Kedah ini dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman pada tahun 1280H/1864M.

 Nama lengkap beliau adalah Muhammad Salleh bin ‘Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Manakala dari sebelah ibu pula ialah Fatimah binti Ishaq bin Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi (lahir pada tahun 1184H/1771M di Kampung Padang Panjang, Kota Sena, Malau, Jitra dan meninggal dunia pada 1287H/1871M. Keturunan mereka berasal dari Fathani kerana Haji ‘Abdul Baqi adalah merupakan seorang ulama dan pembesar dari Kampung Cerang, Fathani)adalah merupakan pengasas kepada Pondok Pulau Pisang di zaman Tengku Anum memerintah Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam. Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi adalah murid Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tuan Guru Haji Ishaq juga pernah menjawat sebagai Qadhi Besar Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam.


Pendidikan: Mendapat pendidikan awal daripada datuknya, yang juga merupakan pengasas Pondok Pulau Pisang. Walaupun Muhammad Salleh telah `alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya, Tuan Guru Haji Ishaq, ulama besar Kedah, murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun sudah menjadi tradisi pada zaman itu untuk mengesahkan seseorang itu diakui keilmuannya, hendaklah belajar lagi kepada ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah. Maka untuk itu beliau dihantar ke Mekah untuk menyambung pengajian iaitu antara tahun 1295H/1879M hingga tahun 1312H/1894M. Ulama yang paling banyak Muhammad Salleh menimba ilmu daripdanya adalah Syaikh `Abdul Qadir bin `Abdur Rahman al-Fathani, cucu saudara dan juga Khalifah Syaikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Selain itu beliau juga belajar daripada ulama Arab yang mengajar di sekitar Mekah pada ketika itu.

PONDOK PULAU PISANG

Menerajui Pondok Pulau Pisang: Setelah beliau kembali dari Mekah pada tahun 1312H/1984M, Haji Muhammad Salleh langsung menerajui Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya itu. Pondok Pulau Pisang adalah merupakan satu-satunya pondok yang utama dan termaju di negeri Kedah, namun setelah meninggalnya Tuan Guru Haji Ishaq pada tahun 1287H/1871M, ianya mula merosot. Namun setelah ianya diterajui oleh Haji Muhammad Salleh, pondok ini berkembang dan mengalami kemajuan yang pesat, kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan. Ketika mula menerajui pondok ini, Haji Muhammad Salleh berusia 30 tahun. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Haji Muhammad Salleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang yang datang dari seluruh Tanah Melayu termasuk Indonesia pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Fathani dan Jawa, malah ada yang lebih ramai daripadanya.

Kitab-kitab yang diajarnya: Diantara kitab-kitab turats Islam, bahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah
  • Faridatul Faraid karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (aqidah)
  • Bidayatul Hidayah oleh Syaikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh (aqidah)
  • Ad-Durruts Tsamin oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani (aqidah)
  • Hidayatus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
  • Sairus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
  • Ad-Durrun Nafis oleh Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari (tasawuf)
  • Turjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) oleh Syaikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. (Tafsir)
Manakala kitab-kitab turats berbahasa ‘Arab pula, antaranya
  • Fathul Mu'in (fiqh)
  • I'anatut Thalibin (fiqh)
  • Baijuri (fiqh)
  • Dasuqi (aqidah)
  • Kifayatul Awwam (aqidah)
  • Shahih al-Bukhari. Jawahir al-Bukhari dan kitab-kitab hadits lain (hadits)
  • Tafsir Jalalain dan Baidhawi (Tafsir)
  • Minhajul `Abidin (Tasawuf)
  • Ihya' `Ulumid Din (Tasawuf)
  • Matnur Risalatil Fathaniyah dan Tashilu Nailil Amani oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (nahwu)
  • Kitab-kitab yang dikarang oleh Syaikh Nawawi Banten
  • Dan lain-lain lagi
Murid-murid beliau: Diantara murid-murid beliau adalah
  • Syaikh Ismail bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
  • Syaikh Ramli bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
  • Dr Burhanuddin al-Helmi
  • Tuan Guru Haji Ahmad Janggut, Langgar
  • Tuan Guru Haji Ahmad Hutan Palas atau dikenali juga Tuan Guru Haji Ahmad Keplu.
  • Tuan Guru Haji Abbas Nasution, Tanjung Pauh.
  • Haji Abdullah Hassan dan ramai lagi.

Penulisan: Sungguhpun sibuk mengajar di pondok dan memenuhi hajat masyrakat setempat, Tuan Guru Haji Salleh masih dapat meluangkan masanya untuk mengarang. Kitab-kitab karangan beliau:
  • Sirajul Huda wa Mishbahud Duja. Pertama kali dicetak oleh Mathba'ah Muhammad `Ali Shabih dekat Al-Azhar, Mesir tahun 1344H. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah
  • Tanbihul `Awam li Istiqazil Manam, juga dicetak di Mesir tahun 1950
  • An-Nashihatuddin az-Zakiyah

Karangan beliau yang lain tidak dapat dikesan kerana musnah di dalam kebakaran pada tahun 1962. Pondok Pulau Pisang mengalami 2 kali kebakaran. Kebakaran sebelumnya memusnahkan kitab-kitab karangan Tuan Guru Haji Ishaq.
Selain dari belajar, para pelajar pondok di Pondok Pulau Pisang juga mengamalkan ratib al-Haddad, di mana ianya dibaca secara beramai-ramai pada sebelah malam.
Keturunan: Hasil dari perkahwinannya dengan isteri yang bernama Saerah binti Abbas beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu:
  1. Hajah Jamilah
  2. Syaikh Ismail. Pernah dilantik menjadi Qadhi Besar Kedah dari tahun 1356H – 1358H dan kemudian dilantik menjadi pengerusi Majmak Ulama Syaikhul Islam Negeri Kedah dari 1358H – Syawwal 1364H.
  3. Haji Qasim dan
  4. Syaikh Ramli.

Pemimpin masyarakat: Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bukanlah hanya sekadar Tuan Guru di pondok, namun beliau juga adalah merupakan seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa. Beliau berjasa di dalam menyediakan sebuah jalanraya sejauh 2km yang menghubungkan Kampung Pulau Pisang dan Pekan Tunjang yang dibinanya secara gotong-royong; mengemaskini pentadbiran Masjid Ishaqiah di Kampung Pulau Pisang dan mengasaskan moreh berbuka puasa di masjid tersebut; menyelesaikan masalah-masalah masyarakat setempat.
Kewafatannya: Setelah lebih dari 50 tahun berbakti di dalam memimpin Pondok Pulau Pisang, Haji Muhammad Salleh meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 1363H/1944M. al-Faathihah.

Sahibus Samahah Dato' Paduka Syeikh Abd. Majid bin Mohd. Noor ( Dato' Mursyid Diraja)



Beliau adalah seorang tokoh pendidik yang disegani serta seorang yang warak dan lemah lembut tetapi tegas dalam soal-soal berkaitan dengan agama.



Dato' Paduka Sheikh Abd. Majid bin Mohd. Noor dilahirkan pada 12 Februari 1924 di Kampung Seberang Pantai Johor, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Star, Kedah pada tahun 1930 selama 3 tahun. Selepas itu, beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Suka Menanti pada tahun 1935 dan seterusnya di Maktab Mahmud selama 8 tahun. Beliau kemudiannya berangkat ke Mesir untuk memasuki Universiti Al-Azhar dan mendapat Ijazah B.A. di sana. Pada tahun 1955, beliau melanjutkan pengajiannya di Institusi Ain Al-Syam dan di situ pelbagai kaedah pengajaran serta pengetahuan perguruan telah dipelajarinya.

Setelah pengajiannya tamat, beliau bertugas sebagai guru Bahasa Arab di sekolah lamanya di Maktab Mahmud iaitu pada tahun 1945 selama 20 tahun. Kemudian, beliau dilantik sebagai Pemangku Guru Besar di sekolah yang sama pada tahun 1961. Pada tahun 1965, beliau dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar di sekolah tersebut. Kemudian pada tahun 1969, beliau dilantik pula sebagai Pendaftar Sekolah-sekolah Agama di Majlis Hal Ehwal Agama Islam. Pada tahun 1980-an, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Lembaga Urusan dan Tabung Haji. Di samping itu, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Tabung Haji. Beliau telah dipilih menjadi Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud dan juga diberi tugas sebagai Ahli Lembaga Amanah Yayasan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIM) selama tiga tahun. Selain itu, Dato' Paduka Syeikh Abd Majid pernah menjadi hakim pertandingan Tilawatul Al-Quran peringkat negeri dan peringkat kebangsaan.

Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 1986, dan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1998.




Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Atas sikap dedikasi dan ketokohan beliau, KDYMM Tuanku Sultan berkenan melantik beliau menjadi Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan dua tahun kemudian beliau bersara wajib pada 12 Februari 1979. Selepas beberapa bulan bersara, beliau telah dipilih menjadi Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah dari tahun 1980 hingga tahun 1984. Serentak dengan tugas tersebut, beliau turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) peringkat negeri Kedah selama 5 tahun. Dari tahun 1979 hingga tahun 1986, beliau dilantik menjadi Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah. Setelah bersara, beliau masih memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Agama Islam Kedah, Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kedah.

Antara hasil karya beliau ialah, Risalah Sembahyang Terawih dan Sembahyang Musafir, Jamak dan Qasar. Beliau juga menyusun kurikulum Sekolah-Sekolah Rendah di Kedah. Dato' Paduka Syeikh Abdul Majid bukan sahaja dikenali sebagai tokoh dalam bidang agama tetapi juga tokoh pendidik yang disegani serta seorang yang warak dan lemah lembut tetapi tegas dalam soal-soal berkaitan dengan agama.

Bagi mengenang sumbangan dan jasa bakti dalam bidang yang beliau ceburi, pelbagai pingat dan darjah kebesaran telah dianugerahkan oleh kerajaan. Di antaranya ialah D.H.M.S. yang membawa gelaran Dato' Paduka, D.P.M.K., S.M.K., P.C.K., Dato' Setia Jaya dan Dato' Mursyid Diraja (Dato' Bergelar Orang Besar Enam Belas). Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 1986, Tokoh Guru Kebangsaan bersempena sambutan Hari Guru pada tahun 1987 dan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1998